16 February 2010

Kerana Awak Insan Yang Saya Sayang..

Tatkala warkah ini menemui awak, saya harap awak bahagia di bawah payung rahmat dan cinta Ilahi. Ketahuilah, tiada apa yang lebih bererti dalam hidup saya, melainkan orang-orang yang saya sayangi segenap jiwa berada dalam dakapan kasih sayang Allah. Semoga awak kuat dan sabar dalam menempuh fasa-fasa perubahan hidup awak. Doa saya mengiringi setiap derap langkah perjuangan awak, insyaAllah.

Tak tahu mengapa, malam ini terasa lain benar suramnya. Sekian objek ditelan kepekatan gelap malam yang membutakan. Desir bayu tidak lagi semerdu dahulu, deru angin sudah tidak meniupkan semangat ke jiwa tandus ini dan hiruk-pikuk kota Temerloh benar-benar mengundang galau ke laman hati ini. Tiada kata yang tepat untuk menggambarkan kacaunya pemikiran tatkala kisah semalam kita bertandang ke kotak memori ini.

Semenjak peristiwa itu, telah berkali-kali saya menghadapi episod yang serupa, kadang kala yang lebih dasyat lagi. Tetapi tatkala lembaran hikayat di mana kita berdua jadi watak utamanya dikisahkan semula kesakitan yang luar biasa dirasakan. Mungkin kerana itu cinta saya pada awak, mungkin juga kerana sayangnya saya pada awak atau mungkin kerana saya merasakan dunia saya akan berakhir setelah keputusan dicapai. Mungkin kerana saya tahu perginya awak tidak meninggalkan apa-apa janji untuk kembali. Beribu-ribu kemungkinan telah saya fikirkan untuk merasionalkan pemikiran serta tindakan.

Saya masih ingat dialog-dialog terakhir kita. Ada intonasi kekeliruan setiap kali perbincangan kita berlangsung. Saya yang pada ketika itu juga masih samar-samar, keliru serta terkejut dan kerana faktor pengalaman yang cetek turut tergugat dek panahan-panahan hujah awak. Awak petah berbicara dan saya pula mudah terpesona. Awak pintar berkata-kata dan setiap kata-kata itu lahir dari akal dan minda sastera awak. Awak pinta sedikit ruang dan peluang untuk berfikir dan meneruskan istikharah tapi tanpa sebarang petanda, awak pergi dan terus berlalu meninggalkan diri saya dengan berjuta persoalan yang menghantui benak fikiran saya dan saya terus-terusan merendam air mata bermuhasabah. Saya mencari-cari di mana salah dan silap saya. Saya tercari-cari di mana punca dan sebab. Tak tergambar di fikiran saya jika perpisahan yang awak pinta. Walaupun awak tidak menyatakannya, tapi saya dapat rasakan melalui gerak hati saya, nauri saya berkata satu kata. Saya tahu kita akan berpisah dan itulah yang telah terjadi, saya pasrah dan redha dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah sebaik-baik Perancang.


Walau kita sudah tidak lagi berada dalam gerabak yang sama, kita telah bersumpah untuk setia dengan landasan kehidupan yang telah kita pilih. Kita berjanji untuk tidak membenci, mencaci dan menghulurkan tangan tatkala diperlukan. Saya tidak peduli jika awak melupakan ikrar itu tetapi saya amat kisah jika lafaz itu tidak saya kotakan.

Di titik itulah kita mengucapkan selamat tinggal, saling berjabat tangan dan berpelukan erat seakan tidak akan berjumpa pada keesokan harinya. Segenap upaya air mata ditahan dan malam itu saya tidur dengan mimpi paling buruk dalam kehidupan. Ia saat yang penuh penyeksaan.

Sekarang, kita hanya berselisih bahu dan kita tak pernah langsung bertanya khabar. Bukan kerana dek hambatan tuntutan tugas yang menggila tapi awak memang sudah tidak lagi menginginkan diri saya dalam hidup awak walaupun sebagai seorang sahabat. Saya mengerti, saya faham dan saya tahu kedudukan saya dalam hidup awak. Saya masih di sini, di atas jalan yang telah dipilih. Berpenat lelah dan bersusah payah bergerak mengikut suapan kefahaman yang diterima dan dibanding beza. Kadang-kadang termengah, saya berhenti dan melihat sekeliling jika kelibat awak kelihatan. Mahu juga saya duduk bersembang mesra bertukar-tukar pandangan seperti dulu tapi semuanya hanyalah angan-angan saya. Saya nampak kelibat awak dan saya sentiasa perhatikan awak. Tapi saya tak mampu bersuara dan tak mampu cuba mendekati awak. Yang ada hanyalah pandangan saya yang sentiasa mengekori setiap gerak langkah awak.

Satu-persatu liku kekecewaan saya redahi. Ada yang datang, ada yang pergi. Ada juga yang datang kembali dengan pelbagai sebab. Maki, provokasi dan tembakan melulu kadang-kadang merobek hati kecil perempuan saya. Jika dulu saya sedih ditinggalkan, tapi kini tidak lagi. Pengalaman hidup telah mengeraskan hati ini. Kepenatan telah membuatkan saya lupa bertanya apakah lagu yang dialunkan di dalam hati. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan, sensitiviti perlu dikekalkan.

Yang pertama, walau sepahit mana selalu menjadi yang paling mengasyikkan. Saya memegang prinsip, setiap sesuatu adalah yang pertama dalam kategori yang tersendiri.

Awak, saya masih menanti. Dan pintu ini saya biarkan tidak berkunci. Datanglah menghuni semula di relung hati ini, jika awak masih sudi. Saya berharap kebun persahabatan kita akan kembali mekar dengan bunga-bunga yang kembang dan harum mewangi. Dan saya teramat bersyukur kerana dikurniakan sahabat dan teman seperti awak.Awak, warkah ini sudah terlalu panjang walau bicara saya masih berbaki. Saya perlu berhenti setakat ini. Andai jodoh persahabatan kita panjang, tak mustahil suatu ketika nanti kita pasti akan bertemu kembali. Dan andai di hayat yang akan datang kita masih juga tidak bertemu, saya tetap berdoa kita akan berjumpa di akhirat sana.

Salam kasih dari insan yang mempunyai rasa kasih terhadap insan yang tak mungkin memberikan kasih terhadap insan ini..